Saturday, November 1, 2008

Justice????


SHAH ALAM: Afidavit sokongan Abdul Razak Abdullah Baginda berhubung gangguan berterusan Altantuya Shaariibuu hingga beliau terpaksa mengupah penyiasat persendirian dan meminta bantuan seorang pegawai kanan polis, menyelamatkannya daripada tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia itu. Selepas hampir dua tahun dibicarakan, Mahkamah Tinggi di sini semalam memerintahkan penganalisis politik itu dilepas dan dibebaskan atas tuduhan berkenaan tanpa perlu dipanggil membela diri.


Bagaimanapun, dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, diperintah membela diri atas tuduhan membunuh Altantuya di lokasi antara lot 12843 dan 16735 Mukim Bukit Raja, Selangor antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006. Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin membuat keputusan itu selepas lebih sebulan meneliti 6,000 halaman nota prosiding dan hujah bertulis pendakwaan dan pembelaan sepanjang 151 hari perbicaraan kes itu, yang mendapat liputan meluas kerana Altantuya dibunuh menggunakan bahan letupan serta didakwa mempunyai hubungan sulit dengan Abdul Razak. Abdul Razak, 48, yang berkemeja jalur biru muda, sebak sebaik keputusan itu dibacakan, manakala Azilah dan Sirul Azhar kelihatan terkejut.


Mohd Zaki dalam keputusannya, berkata pihak pendakwaan gagal mengemukakan kes prima facie terhadap Abdul Razak bagi membuktikannya bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar untuk membunuh Altantuya, 28. "Disebabkan afidavit sokongan Abdul Razak adalah sebahagian daripada dokumen kes pendakwaan, maka saya berpendapat keseluruhan kandungannya termasuk butiran yang dimohon dikecualikan, perlu diberi pertimbangan wajar sebagai mana bukti pendakwaan lain. "Oleh itu, persoalan mengenai penangguhan atau pergantungan kepentingannya ke peringkat perbicaraan selanjutnya tidak timbul," katanya yang mengambil masa 25 minit untuk membaca keputusannya sebaik mahkamah memulakan prosiding, kira-kira jam 9.40 pagi. Mohd Zaki berkata, beliau bersetuju dengan hujah peguam Abdul Razak, Wong Kian Kheong bahawa butiran dalam afidavit itu konsisten dengan keterangan saksi pendakwa, penyiasat persendirian, P Balasubramaniam; sepupu Altantuya, Burmaa Oyunchimeg; teman wanita Azilah, Lans Koperal Rohaniza Roslan dan setiausaha Abdul Razak, Siti Aishah Mohd Azlan.



Katanya, keterangan semua saksi yang konsisten dengan afidavit itu jelas sekali menyangkal dan menjadikan tuduhan bersubahat terhadap Abdul Razak tidak sah. Mohd Zaki juga memutuskan menolak permohonan pendakwaan untuk mencabar kredibiliti Rohaniza dan pegawai kanan UTK, Deputi Superintendan (DSP) Mohd Yusri Hasan Basri, 33, kerana terdapat beberapa percanggahan dalam keterangan saksi di mahkamah dengan percakapan beramaran yang dirakam. Penolakan itu bermaksud keterangan Rohaniza akan diterima masuk dalam nota keterangan. Katanya, beliau juga menolak percakapan beramaran Mohd Yusri dengan mengambil kira rakaman percakapan itu diambil 10 bulan selepas Altantuya dibunuh.


Mengenai 'perbicaraan dalam perbicaraan' berhubung penemuan barang kemas Altantuya di rumah Sirul Azhar serta kenyataan polis bahawa Azilah menunjukkan tempat mangsa diletupkan dan dibunuh, Mohd Zaki memutuskan untuk menerima masuk semua keterangan itu. "Selepas mendengar semua keterangan saksi ketika perbicaraan dalam perbicaraan dan hujahan pembelaan serta pendakwaan, saya mendapati tiada asas meyakinkan dan boleh dipertahan untuk mahkamah menggunakan budi bicaranya bagi mengeluarkan keterangan itu. "Keterangan mengikut Seksyen 27 Akta Keterangan berkenaan kekal sebagai sebahagian daripada keterangan dikemukakan pendakwaan," katanya.


Mohd Zaki kemudian menetapkan 10 November ini untuk Azilah dan Sirul Azhar membela diri sama ada dengan mengemukakan keterangan bersumpah dari kandang saksi, keterangan dari kandang tertuduh atau berdiam diri. Peguam Azilah, Datuk Hazman Ahmad dan peguam Sirul Azhar, Kamarul Hisham Kamaruddin, menyatakan anak guam masing-masing memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.


Hazman berkata, pihaknya akan memanggil tujuh saksi, iaitu Ketua Jabatan Digital Forensik di CyberSecurity Malaysia (NISER), Aswami Fadillah Mohd Ariffin; DSP Musa Mohd Safri, bekas Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Brickfields, DSP Idris Abdul Karim serta tiga anggota polis lain dan seorang lagi teman wanita Azilah, Norazila Baharudin. Kamarul Hisham pula berkata, pihaknya akan memanggil semula Balasubramaniam dan pengendali serta penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin untuk memberi keterangan berkaitan akuan bersumpah mereka. Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah bagaimanapun berkata, Raja Petra kini ditahan mengikut Seksyen 8 Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan pihak pembelaan perlu mendapatkan kebenaran menteri berkenaan untuk memanggilnya sebagai saksi. Katanya, pihak pembelaan juga perlu meminta bantuan polis untuk memanggil Balasubramaniam.


Sementara itu, Mohd Zaki membenarkan permohonan Wong untuk menjadi peguam pemerhati dalam perbicaraan kes Azilah dan Sirul Azhar demi kepentingan anak guamnya. Peguam pemerhati keluarga Altantuya dan Kerajaan Mongolia, Karpal Singh yang ditemui sebaik prosiding berakhir, berharap pihak pendakwaan akan mengemukakan rayuan semakan semula terhadap keputusan pembebasan Abdul Razak. Tun Abdul Majid yang ditanya mengenai perkara itu, berkata pihaknya akan menimbang sama ada akan mengemukakan rayuan atau tidak selepas membincangkannya dengan Peguam Negara.
rasanya semua rakyat malaysia dah tahu pasal keputusan ni kan? atau mungkin keputusan ni memang dah di jangka kan?? Rakan sekerja dari Filipina kata " tak ada undang2 di malaysia, kalau ada duit bebas, kalau ada connection dgn org atas..dgn sms saja bebas"....