Wednesday, October 15, 2008

minyak turunnnn

Minyak turun lagi

Oleh Wan Hazmir Bakarbhnews@bharian.com.my

MASIH ramai pengguna yang tidak menyedari bahawa petrol RON97 dan RON92 yang dibeli mereka sebenarnya menerima subsidi kerajaan kira-kira 30 sen masing-masing selain diesel yang turut diberi subsidi. Pada masa ini, pengguna membayar RM2.45 seliter untuk petrol RON97 dan RM2.30 seliter untuk RON92 manakala diesel RM2.40 seliter. Sebagai contoh, bagi setiap 8 liter petrol RON97 yang dibeli pada harga RM19.60, mereka sebenarnya hanya membayar untuk 7 liter kerana bakinya disubsidi oleh kerajaan. Atas dasar kebertanggungjawaban, kerajaan sudah dua kali menurunkan harga petrol dengan pelarasan terbaru pada 24 Sept lepas setelah harga pasaran minyak dunia berkurangan kepada RM109 setong. Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk menurunkan lagi harga petrol jika harga pasaran bahan itu terus menyusut. Kelihatan seorang pengguna melihat jumlah yang perlu dibayarnya bagi 8 liter petrol RON97. - Foto Bernama
Penurunan kali ketiga 10 hingga 20 sen seliter PUTRAJAYA: Kerajaan semalam mengumumkan penurunan kali ketiga harga runcit petrol dan diesel antara 10 sen hingga 20 sen seliter, berkuat kuasa hari ini. Harga petrol RON97 dikurangkan 15 sen seliter daripada RM2.45 kepada RM2.30, petrol RON92 turun 10 sen seliter daripada RM2.30 kepada RM2.20, manakala diesel sebanyak 20 sen seliter daripada RM2.40 kepada RM2.20.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam kenyataan media di sini, berkata kerajaan membuat keputusan menyegerakan penurunan harga runcit bahan api itu bagi membolehkan rakyat menikmatinya lebih awal. "Oleh kerana harga minyak dunia sudah turun secara ketara akhir-akhir ini, kerajaan membuat keputusan untuk mempercepatkan pengurangan harga runcit bagi membolehkan orang ramai menikmatinya dengan lebih segera," katanya. Harga minyak mentah turun daripada rekod tertinggi AS$147 dolar setong pada Julai lalu kepada AS$82 dolar sekarang.
Pada 23 Ogos lalu, harga runcit petrol RON97 diturunkan 15 sen seliter daripada RM2.70 kepada RM2.55, RON92 dikurangkan 22 sen seliter daripada RM2.62 kepada RM2.40 manakala diesel lapan sen seliter daripada RM2.58 kepada RM2.50. Pelarasan terakhir pada 25 September lalu pula membabitkan penurunan harga runcit petrol dan diesel sebanyak 10 sen seliter menjadikan petrol RON97 RM2.45 seliter, RON92 (RM2.30) dan diesel (RM2.40). Mengikut formula penyelarasan bahan api yang ditetapkan sebelum ini, harga runcit petrol dan diesel akan ditetapkan pada setiap awal bulan berdasarkan purata bulanan harga minyak mentah dunia ditolak dengan subsidi kerajaan sebanyak 30 sen seliter.

0 yang turut berpot-pet: